Thursday, December 05, 2019

Perbahasan Rang Undang-Undang Mata Wang 2019

Video  https://youtu.be/yD8UdRo3GNg

Perbahasan YB Wong Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Mata Wang 2019 pada 3/12/2019 
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya turut ingin menyertai perbahasan mengenai dengan rang undang-undang berkenaan dengan mata wang dan kalau kita meninjau dari segi sejarah perundangan, sumber kuasa berkaitan pengurusan dan operasi mata wang terkandung dalam Bahagian III, Akta Bank Negara Malaysia 1958. 
Bahagian ini masih kekal walaupun akta tersebut telah dimansuhkan dan diangkat menjadi akta Bank Negara. Saya rasa adalah tepat pada masanya kita mewujudkan satu bill, satu rang undang-undang atau satu akta tersendiri dengan 70 seksyen dan dua jadual untuk menguruskan perkara-perkara berkenaan dengan mata wang. Kita perlu menyediakan kerangka undang-undang yang lebih menyeluruh dan kawal selia ke atas pemprosesan mata wang. Beberapa perkara yang saya ingin bangkitkan di sini, saya juga telah merujuk kepada seksyen 22, Currency Act of Singapore.
Di negara Singapura, mereka juga mempunyai satu akta currency atau Currency Act. Dalam seksyen 22 Currency Act of Singapore, “Authority’s assets must not be less than currency in circulation”. Maksudnya, kalau currency yang sedang dalam edaran pasaran, ia tidak boleh kurang daripada aset kerajaan. Satu seksyen yang jelas di bawah seksyen 22 di Singapura yang tidak terdapat dalam Currency Bill yang kita cadangkan pada hari ini. So, saya minta penjelasan, sama ada kita boleh belajar― ataupun kenapa kita tidak masukkan klausa sedemikian? “Authority’s assets must not be less than currency in circulation”, seksyen 22 di Singapura. 
Saya juga ingin membangkitkan satu isu berkenaan dengan rang undang-undang ini yang juga memperkenalkan had transaksi tunai ataupun kita panggil CTL atau cash transaction limit dalam Jadual Kedua di bawah Rang Undang-undang Mata Wang. Maksud kita memperkenalkan had transaksi tunai bagi mengekang eksploitasi transaksi tunai yang sukar dikesan dalam kegiatan jenayah dan aktiviti ekonomi gelap. 
Saya ingin mendapat kepastian kerana kita juga mendengar pengumuman daripada Bank Negara bahawa pada 1 Januari 2020, cash transaction limit dicadangkan sebanyak RM25,000. Akan tetapi, di bawah rang undang-undang ini, di Jadual Kedua, pada masa ini tiada. Boleh minta Yang Berhormat Timbalan Menteri memberikan penjelasan dengan lebih lanjut mengenai pengumuman Bank Negara dan juga di bawah Jadual Kedua di bawah rang undang- undang ini yang nampaknya tidak selari. Saya minta penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri. 
Saya juga ingin membangkitkan satu isu dalam rang undang-undang ini bahawa Bank Negara sebagai pengeluar tunggal mata wang di Malaysia dan kuasa untuk menjual mata wang pada harga selain daripada nilai muka bagi mempromosikan seni numismatik iaitu seni untuk percetakan nilai mata wang. 
Saya ingin membangkitkan isu berkaitan adalah kerana terdapat satu industri yang kecil yang dipanggil industri pengumpulan mata wang. Mereka sering membuat percetakan imej-imej mata wang. Bagaimana kalau warga numismatik ini mereka akan menghadapi kesukaran untuk menerbitkan buku numismatik berkenaan mata wang Malaysia? Ini kerana Bank Negara tidak lagi membenarkan tandatangan Gabenor Bank Negara pada wang kertas yang dikongsi dalam buku. 
Selain tulisan “contoh” atau “spesimen”, penerbit juga diminta untuk memadam tandatangan gabenor dan juga tulisan “Wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai”. Ini sekatan ke atas penggunaan gambar, lukisan atau reka bentuk mata wang yang penerbitan dan sebagainya sedikit sebanyak menyukarkan warga numismatik berkongsi ilmu dan menerbitkan buku numismatik. Saya meminta supaya perkara ini diperjelaskan supaya kita semua boleh faham apa yang berlaku. 
Juga, saya ingin membangkitkan isu-isu berkenaan dengan digital money. Ini kerana di bawah Rang Undang-undang Mata Wang ini, legal tender merupakan wang kertas dan juga coin atau syiling. Terdapat istilah-istilah seperti token yang tidak begitu jelas maksudnya. Sama ada Bank Negara pada masa depan berhasrat membuat kawal selia terhadap digital tokens, stable coins, digital money, cryptocurrency dan sebagainya? 
Buat masa ini, cryptocurrencydigital tokens dan sebagainya dikawal selia oleh Security Commission atau Suruhanjaya Sekuriti. Bank Negara sebagai bank yang mengawal selia penerbitan mata wang harus juga diberi kuasa untuk kawal selia terhadap digital-digital tokencryptocurrencystable coin dan sebagainya. Saya ingin mendapat penjelasan, bagaimana pengagihan tugas antara Bank Negara dan juga Suruhanjaya Sekuriti? 
Saya rasa ini pada keseluruhannya rang undang-undang ini adalah menyeluruh dengan mengemas kini apa yang terhadap penerbitan mata wang sejajar dengan perkembangan yang terbaru dan juga mengoptimumkan kos pengurusan operasi mata wang melalui langkah-langkah meningkatkan keberkesanan operasi dan pengedaran semula mata wang. Saya meminta penjelasan terhadap isu-isu yang saya bangkitkan tadi. 
Sekian, terima kasih. 

No comments: